PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan Kementerian Pendidikan (KPM) memindahkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 terjejas banjir ke asrama sekolah adalah langkah tepat.
Perdana Menteri berkata, bencana banjir bukan perkara baharu di negara ini malah, negara berdepan bencana itu sejak beberapa dekad lalu tidak pernah menangguhkan peperiksaan itu.
Bagaimanapun, katanya, isu (gesaan tangguh SPM) telah dieksploitasi sepenuhnya oleh pihak pembangkang.
“Ketika di Terengganu, saya bertanya kepada pegawai penyelaras bencana dan mereka memaklumkan sekurang-kurangnya 99.9 peratus calon SPM 2024 di negeri itu akan menghadiri peperiksaan berkenaan.
“Menariknya, daripada pengalaman lalu, pelajar yang ditempatkan di asrama ini cenderung mendapat keputusan yang lebih baik kerana guru-guru akan datang untuk mengajar,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumpulan Dana Ihsan Madani Untuk Mangsa Banjir di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE