MOSCOW – Sebuah asteroid terbakar di atmosfera Bumi menyebabkan penduduk bandar Olyokminsk, Russia seolah-olah menyaksikan satu pertunjukan cahaya, lapor portal berita RT semalam.
Para saintis Amerika Syarikat (AS) mengesan objek itu semalam dan menamakannya COWECP5.
Saiznya dianggarkan kira-kira satu meter tetapi kemudian direkodkan kira-kira 70 sentimeter.
Batuan angkasa itu terbang di langit Sungai Lena, Yakutia kira-kira pukul 7 malam (waktu tempatan) dengan cahaya terang kelihatan sejauh ratusan kilometer.
“Apakah itu?” soal beberapa penduduk tempatan yang suaranya boleh didengari menerusi satu rakaman video.
Reaksi itu kedengaran ketika asteroid tersebut terbakar di langit. – AGENSI