fbpx

Pemandu lori didakwa sembunyi mesin ATM jongkong emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lori yang dipercayai digunakan untuk melarikan mesin ATM jongkong emas di Taman Pertama minggu lalu.

AMPANG – Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, pertuduhan menyembunyikan mesin pengeluaran automatik (ATM) jongkong emas yang dicuri.

Tertuduh Loh Kian Luck, 41, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Normaizan Rahim.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa sengaja menyembunyikan harta curi iaitu sebuah mesin ATM Public Gold milik sebuah syarikat yang dilaporkan hilang bersangkut laporan (report) Taman Melawati yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai harta itu adalah harta curi.

Kesalahan itu dilakukan di Kawasan Perindustrian Bukit Angkat, Kajang pukul 3 petang pada 2 Disember lalu.

Justeru pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Vinobha Doss merayu anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum kerana perlu menyara keluarga termasuk dua anak.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Majistret Normaizan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 20 Februari 2025 bagi sebutan semula kes.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan polis menahan tiga lelaki tempatan disyaki terlibat dalam kes kecurian ATM jongkong emas di sebuah pasar raya di Taman Permata, di sini minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pegawai pemasaran mendakwa mesin ATM emas di sebuah pasar raya telah ditarik keluar oleh individu tidak dikenali 23 November lalu.

Mohd. Azam berkata mesin itu bagaimanapun tidak mengandungi jongkong emas kerana telah dikosongkan terlebih dahulu dan kerugian hanya membabitkan nilai mesin iaitu kira-kira RM60,000.

Susulan kejadian itu, satu operasi telah dijalankan membawa kepada tangkapan tiga individu dipercayai terlibat dalam kejadian terbabit bermula 26 November sehingga kelmarin.

“Kesemua suspek berusia 17 hingga 41 tahun itu ditangkap Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dalam operasi di Kuala Lumpur dan Kajang, Selangor,” katanya.

Menurut beliau, polis turut merampas dua telefon bimbit, beberapa pakaian, dan sebuah lori yang dipercayai digunakan untuk membawa mesin ATM berkenaan keluar dari lokasi kejadian.

Jelas Mohd. Azam, siasatan awal mendapati suspek menggunakan modus operandi dengan mengupah pemandu lori untuk membawa keluar mesin ATM dari lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI