PETALING JAYA – Pengasas platform e-dagang, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar, akan berdepan satu pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, esok.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menerusi akaun TikTok memaklumkan, pihaknya telah mendapat izin untuk mendakwa pasangan tersebut masing-masing di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.
“Pertuduhan terhadap kedua-dua individu berkenaan berkaitan kes pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB)” katanya dalam kenyataan di Tiktok SPRM, hari ini.
Semalam, Kosmo! melaporkan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pertuduhan pasangan suami isteri itu membabitkan kerugian RM43.9 juta pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam syarikat FashionValet.
Katanya, pasangan berkenaan ditahan tengah hari semalam namun diberi jaminan oleh SPRM untuk hadir ke mahkamah Khamis ini.
28 November lalu, SPRM memaklumkan bahawa pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan membabitkan pasangan itu dalam kes kerugian pelaburan berkenaan.
Kertas siasatan diserahkan kepada Bahagian Perundangan SPRM untuk kajian dan pertimbangan sewajarnya.
Sebelum ini, SPRM telah mengesan terdapat beberapa transaksi agak mencurigakan dalam siasatan berhubung kerugian pelaburan dalam syarikat e-dagang berkenaan sejak 2018 sehingga 2023.
SPRM dilaporkan turut berjaya membuat rampasan kira-kira 60 kotak mengandungi pelbagai dokumen daripada FashionValet, Khazanah dan PNB untuk membantu siasatan lanjut. -KOSMO! ONLINE.