KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tiada laporan polis diterima setakat ini berhubung dakwaan penjualan data MyKad rakyat Malaysia di ‘darkweb.’
Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Rohaimi Md Isa berkata, siasatan Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, JSJK Bukit Aman, setakat ini tidak menemui bukti berkaitan dakwaan tersebut.
“Dakwaan ini dilaporkan melalui hantaran di laman X.com oleh sebuah syarikat IT dari Singapura. Namun, siasatan kami tidak menemui sebarang laporan atau bukti kukuh berkaitan isu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, PDRM akan terus melakukan pemantauan rapi bagi menentukan kesahihan maklumat.
Tambah Rohaimi, siasatan akan dijalankan bersama agensi berkaitan sekiranya laporan rasmi diterima.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menjadi mangsa berkaitan isu ini diminta tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.
“PDRM komited memastikan keselamatan data peribadi rakyat Malaysia terjamin,” katanya.
Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan tidak wujud insiden kebocoran data sebanyak 17 juta yang sebagaimana didakwa seorang pengguna laman X dikenali sebagai Fusion Intelligence Center @ StealthMole.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, semakan telah dilakukan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan bahagian keselamatan teknologi maklumat mendapati dakwaan tersebut tidak benar.-KOSMO! ONLINE.