PETALING JAYA – Nampaknya episod drama rumah tangga penyanyi, Datuk Nora Ariffin bersama suaminya masih belum berakhir.
Terbaharu, anak tiri Nora dikatakan bengang dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh ibu tirinya dalam media sosial. Nora mendakwa dia telah digelar sebagai sundal oleh keluarga suaminya.
“Alhamdulillah. Syukur di atas gelaran bitch (sundal) yang diberikan oleh keluarga ustaz kepada saya. Saya dan anak-anak akur dan terima dengan hati yang tabah. Ujian untuk kami. Moga Allah ampuni dosa-dosa saya. Sabarlah ya Rushdi Ramli (suami Nora),” tulisnya dalam kenyataan tersebut.
Disebabkan kenyataan tersebut, anak tiri Nora yang dikenali sebagai Aya Rushdi tampil mempersoalkan tindakan ibu tirinya itu.
“Apa maksud kamu? Bahagian mana dan bila kami (ahli keluarga) panggil kamu dengan gelaran tersebut? Kenapa tiba-tiba nak petik nama kami? Apa yang telah kami lakukan?
“Rasanya sudah banyak kali dia berusaha keras untuk memburukkan keluarga aku. Lagi diam, lagi dia seronok buat,” tulisnya dalam aplikasi platform X.
Tambah Aya lagi, dia juga mempunyai segala bukti apa yang Nora telah lakukan terhadap keluarganya.
“Jangan sampai aku dedahkan apa yang dia buat pada keluarga aku. Aku ada segala rakaman suara serta tangkap layar yang aku simpan dalam telefon pintar. Aku telah lama tidak ambil peduli pasal dia, tetapi nampaknya dia tidak,” dedahnya dalam satu hantaran yang lain.
Terdahulu pada Ogos lalu Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Wan Ariffin, 51, mendedahkan dia dan suami telah bercerai dalam sebuah video. Namun kembali rujuk pada September. – KOSMO! ONLINE