fbpx

Muhammad Zaharif patah tulang rusuk, hati pecah, paru-paru koyak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAKSI pendakwaan ke-24, Dr. Ain Nurfarhana ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini.

IPOH – Pakar Perubatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) hari ini memberitahu lapan tulang rusuk pelajar tingkatan lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie patah dan sebahagian hatinya juga pecah.

Menurut Dr. Ain Nurfarhana Hamdan, 35, terdapat pengumpulan darah sebanyak 200 mililiter (ml) di kedua-dua rongga dada mangsa dan sejumlah 2000 ml darah ditemui di rongga abdomen pelajar terbabit.

“Pemeriksaan dalaman ke atas mangsa mendapati kedua-dua paru-paru mangsa mengalami lebam dan terdapat kesan koyak pada paru-paru kiri. Bahagian kanan hati mangsa juga pecah selain lebam di sekitar buah pinggang kanan dan kelenjar adrenal kanan,” katanya yang juga saksi pendakwaan ke-24.

Tambah Dr. Ain Nurfarhana, pemeriksaan kasar pada organ dalaman mangsa berdasarkan sampel tisu otak, jantung, paru-paru, buah pinggang, hati dan limpa pula mengesahkan tiada kejanggalan lain.

Sementara itu, pemeriksaan luaran yang dilakukan ke atas mayat pelajar tingkatan lima itu turut mengesan pelbagai kecederaan termasuk lebam, melecet, koyak dan calar di beberapa bahagian badan selain patah tulang proximal ulnar kanan dan tulang proximal jari kelingking kiri.

“Ringkasan dan kesimpulan yang saya buat hasil daripada pemeriksaan bedah siasat dilakukan ke atas mangsa ialah kesan kecederaan pada tubuh pelajar itu adalah berpadanan dengan corak kecederaan pelanggaran di jalan raya.

“Kecederaan pada bahagian dada dan abdomen mangsa adalah kecederaan parah dan menyebabkan kematiannya.

“Pemeriksaan bedah siasat tidak menunjukkan tanda penyakit biasa yang ditemui yang dilihat boleh menyumbang atau menyebabkan kematiannya pada masa itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI