KUALA LUMPUR – SAIC Motor Malaysia sebagai pengedar jenama Morris Garages (MG) melancarkan kereta sport ikonik, MG Cyberster untuk pasaran Malaysia.
MG Cyberster yang merupakan roadster elektrik pertama jenama MG dengan dua tempat duduk dijual pada harga RM319,900.
Pelancaran model MG Cyberster itu telah disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sempena Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) di sini hari ini.
Pengarah Urusan SAIC Motor Malaysia, Emory QiFeng berkata, kereta dalam kelas roadster itu merupakan penawaran baharu MG menerusi kenderaan elektrik.
“Rekaan dan inovasi MG Cyberster adalah satu kebanggaan, kami teruja untuk menerima kehadirannya di jalan raya tidak lama lagi.
“Barisan model MG yang dipamerkan di KLIMS mencerminkan komitmen kami untuk menawarkan kenderaan cekap tenaga, sejajar dengan matlamat Malaysia dalam memacu kelestarian serta memenuhi piawaian keselamatan,” katanya pada majlis pelancaran tersebut.
Turut hadir Ketua Pegawai Operasi SAIC Motor, Lee Wen Hsiang.
MG Cyberster yang hadir dalam satu varian.menawarkan kuasa 503 PS (375 kW) dengan tork maksimum 725 Nm melalui pacuan semua roda (4WD).
Dilengkapi dengan bateri 77kWh, MG Cyberster menawarkan jarak pemanduan sehingga 446 km, dan pengecasan pantas dari 10 hingga 80 peratus hanya dalam 38 minit.
Kenderaan itu mampu memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa 3.2 saat.
Dari segi reka bentuk, ia mempunyai daya tarikan melalui model pintu gunting (Automatic Scissor Doors) sesuai sebagai sebuah kereta sport.
Ia diperkemaskan dengan perincian roda aloi 20 inci Jetsream, angkup brek nerah dan lampu depan LED automatik.
Bahagian dalam pula, menampilkan elemen sporty mewah dengan sistem infotainmen canggih dan audio premium Bose.
Selain itu, MG Cyberster juga dilengkapi dengan ciri keselamatan komprehensif MG Pilot untuk pengalaman pemanduan yang selamat dan memuaskan.
MG Cyberster ditawarkan dalam empat warna menarik iaitu Dynamic Red, Camden Grey, Inca Yellow, dan English White.
Dynamic Red dan Camden Grey hadir dengan warna ruang dalaman hitam dan merah, sementara Inca Yellow dan English White dilengkapi warna kelabu.
Semua varian disertakan dengan tudung hitam untuk gaya yang lebih elegan.
Pakej waranti komprehensif dan pakej untuk pembeli MG Cyberster selama tujuh tahun atau waranti perbatuan pada kenderaan lapan tahun atau 180,000 km ditawarkan kepada pembeli.
SAIC Motor Malaysia turut mempamerkan pelbagai model MG di KLIMS termasuk MG5, MG HS SUV, dan MG4 EV Concept Edition yang baharu.
Model-model akan datang seperti MG3 HEV, MG7, dan MG ZS HEV turut dipamerkan, menunjukkan usaha MG untuk menawarkan lebih banyak pilihan menarik kepada rakyat Malaysia.
Tawaran istimewa turut disediakan bagi pembeli yang menempah mana-mana model MG di acara tersebut.
MG5 dan MG HS ditawarkan dengan rebat RM7,000 dan RM5,000, manakala pembeli MG ZS EV, MG4 EV Lux, dan MG4 EV Standard boleh menikmati ansuran percuma sehingga 20 bulan, dengan nilai masing-masing RM26,000, RM16,000, dan RM8,500.