fbpx

MG Cyberster kereta sport ikonik dilancarkan pada harga RM319,900

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTHONY (dua dari kiri) bersama Emory QiFeng (kiri) pada Majlis Pelancaran MG Cyberster sempena KLIMS di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini. - NOR SHAFAWATI YUP

KUALA LUMPUR – SAIC Motor Malaysia sebagai pengedar jenama Morris Garages (MG) melancarkan kereta sport ikonik, MG Cyberster untuk pasaran Malaysia.

MG Cyberster yang merupakan roadster elektrik pertama jenama MG dengan dua tempat duduk dijual pada harga RM319,900.

Pelancarannya disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sempena Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS), di sini hari ini.

Pengarah Urusan SAIC Motor Malaysia, Emory QiFeng berkata, kereta dalam kelas roadster itu merupakan penawaran baharu MG.

“Rekaan dan inovasi MG Cyberster adalah satu kebanggaan buat syarikat, kami teruja untuk menerima kehadirannya di jalan raya tempatan tidak lama lagi.

“Barisan model MG yang dipamerkan di KLIMS mencerminkan komitmen kami untuk menawarkan kenderaan cekap tenaga, sejajar dengan matlamat Malaysia dalam memacu kelestarian serta memenuhi piawaian keselamatan,” katanya pada majlis pelancaran.

MG Cyberster hadir dalam varian Tunggal dan menawarkan kuasa 503 PS (375 kiloWatt) dengan tork maksimum 725 Nm melalui pacuan semua roda.

Selain Dynamic Red, MG Cyberster turut didatangkan dalam warna Camden Grey, Inca Yellow dan English White.

Dilengkapi bateri 77kW, ia menawarkan jarak pemanduan sehingga 446 kilometer (km), dan pengecasan pantas dari 10 hingga 80 peratus hanya dalam 38 minit.

Kenderaan itu mampu memecut dari kedudukan pegun hingga kelajuan 100 km sejam dalam masa 3.2 saat.

Dari segi reka bentuk, ia mempunyai pintu gunting, roda aloi 20 inci, angkup brek warna merah dan lampu depan LED automatik.

Bahagian dalam pula menampilkan elemen sporty dengan sistem infotainmen canggih dan audio premium Bose.

Selain itu, MG Cyberster juga dilengkapi dengan ciri keselamatan komprehensif MG Pilot untuk pengalaman pemanduan yang selamat.

SAIC Motor Malaysia turut mempamerkan pelbagai model MG lain di KLIMS termasuk MG5, MG HS SUV, dan MG4 EV Concept Edition yang baharu.

MG5 dan MG HS ditawarkan dengan rebat RM7,000 dan RM5,000, manakala pembeli MG ZS EV, MG4 EV Lux, dan MG4 EV Standard boleh menikmati ansuran percuma sehingga 20 bulan, masing-masing bernilai RM26,000, RM16,000, dan RM8,500.

Model-model akan datang seperti MG3 HEV, MG7, dan MG ZS HEV turut dipamerkan, menunjukkan usaha MG untuk menawarkan lebih banyak pilihan menarik kepada rakyat Malaysia. – KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI