KUALA LUMPUR – Bekas pemain beregu campuran negara, Goh Liu Ying meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pasangan muda negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk mencipta kejutan pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) di Hangzhou, China, yang akan membuka tirai pada Rabu depan.
Liu Ying meluahkan rasa gembira apabila selain Tang Jie-Ee Wei, pasangan profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai turut mencipta sensasi apabila berjaya melangkah ke pentas WTF kali ini.
Bagaimanapun, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 tersebut berharap, gandingan muda negara, Tang Jie-Ee Wei memberi perhatian khusus terutama kepada persiapan mental kerana ia akan memainkan peranan penting dalam usaha mereka untuk bersaing pada tahap tertinggi di pentas berprestij tersebut.
“Ini adalah acara yang saya paling gembira kerana bukan mudah untuk layak ke WTF. Lebih manis lagi, selain Tang Jie-Ee Wei kita juga mempunyai pemain profesional seperti Soon Huat-Shevon yang turut berjaya melangkah ke pentas berprestij tersebut.
“Pencapaian melangkah ke WTF ini sangat besar, dan saya percaya Tang Jie-Ee Wei adalah pemain muda yang perlu diperhatikan di masa hadapan. Saya harap mereka dapat menunjukkan prestasi yang bagus.
“Apapun, perkara paling penting adalah mentaliti mereka. Dulu mereka (Tang Jie-Ee Wei) pernah nak kejar untuk perbaiki ranking dunia, namun sebaliknya berlaku apabila kini ramai pemain muda yang sedang mencabar kedudukan mereka.
“Oleh itu, perkara utama adalah bagaimana mereka berdua dapat mengekalkan prestasi yang konsisten dalam latihan serta pertandingan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Kidslympic di Stadium Merdeka hari ini.
Pada majlis itu, Liu Ying diumumkan sebagai duta Kidslympic yang dijadual berlangsung di Stadium Merdeka dari 27 hingga 29 Dis depan.
Program Kidslympic Malaysia mendapat sokongan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu bakal menghimpun 1,500 kanak-kanak dari seluruh negara.
Kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun dijadual bersaing dalam pelbagai jenis acara sukan antaranya, gimnastik, taekwando, pentatlon moden, bola keranjang, sofbol, olahraga dan bola tampar. -KOSMO! ONLINE