PETALING JAYA – Kumpulan Syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) melaksanakan inisiatif bantuan banjir secara menyeluruh dengan peruntukan bernilai RM782,800 bagi menyokong komuniti yang terjejas di seluruh negara.
Ini adalah usaha sama yang digabungkan di bawah GDRN (GLIC/GLC Demi Rakyat ( Negara) yang diterajui oleh kerajaan, Kumpulan Syarikat LTAT untuk menyediakan bantuan segera keperluan asas kepada mangsa yang terjejas melalui sinergi bersama Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta pelbagai organisasi bukan kerajaan (NGO).
Kumpulan syarikat LTAT terdiri daripada Pharmaniaga Berhad, Boustead Holdings Berhad, Boustead Plantations, Boustead Petroleum Marketing Sdn. Bhd., Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC), Boustead Properties Berhad dan Affin Group Berhad (Affin).
Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md. Radzi berkata, dalam menghadapi cabaran berterusan banjir di hujung tahun, pihaknya kekal proaktif untuk bekerjasama dengan rakan strategik bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada rakyat yang terjejas.
“Fokus utama kami untuk memberikan sokongan segera kepada keluarga, khususnya anggota ATM dan veteran, yang memainkan peranan penting dalam respons bencana. Kami berharap usaha ini dapat memberikan kemudahan serta bantuan yang diperlukan semasa mereka menghadapi cabaran musim hujan.
“Kami juga bersimpati terhadap semua mangsa yang terjejas akibat banjir dan berdiri teguh bersama mereka yang kini dalam usaha untuk membina semula kehidupan mereka.
“Kami turut menghargai pengorbanan dan dedikasi tidak berbelah bahagi barisan hadapan, sukarelawan, serta pasukan sokongan khususnya anggota ATM yang memberikan impak besar kepada kehidupan mereka yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Mohammad Ashraf menerangkan, bantuan banjir tersebut dilaksanakan secara bersasar di pelbagai negeri yang mana Pharmaniaga mengedarkan lebih daripada 24,000 pek ubat-ubatan penting, termasuk vitamin dan suplemen, bagi menyokong usaha bantuan pemulihan di Terengganu dan Kelantan.
Boustead Plantations menyumbang sebanyak RM50,000.00 kepada NGO yang membantu komuniti terjejas banjir di kawasan Kelantan, Kedah, Terengganu, dan Pahang.
Selain itu, Boustead Holdings Berhad, Boustead Properties dan BHIC, menyokong NGO di Kelantan dengan sumbangan sebanyak RM27,500.00.
“BHPetrol membekalkan 400 pek barangan keperluan asas ke pusat pemindahan melalui Kementerian Pertahanan dan ATM di Kelantan.
“Affin pula menawarkan Natural Disaster Relief Programme (NDRP) untuk membantu pelanggan yang terjejas dengan banjir melalui bantuan kewangan untuk pelbagai pinjaman dan produk kewangan, termasuk permohonan moratorium sehingga enam bulan, tertakluk kepada terma dan syarat,” jelasnya.
Mohammad Ashraf menjelaskan, inisiatif tersebut juga mengetengahkan komitmen LTAT dan Yayasan LTAT terhadap usaha pemulihan pasca-banjir, termasuk menyediakan sokongan sukarelawan kepada veteran di kawasan terjejas.
Tambah beliau, usaha sinergi ini menyerlahkan komitmen teguh LTAT dan Kumpulan syarikatnya dalam menyokong komuniti yang terjejas akibat banjir, memastikan bantuan segera dan pemulihan jangka panjang dapat dilaksanakan. -KOSMO! ONLINE