PUTRAJAYA – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan memperhalusi dan menilai rumah-rumah di kawasan desa yang rosak akibat banjir dengan menyediakan rumah baharu atau membaik pulih kediaman terjejas.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif itu antara usaha dilaksanakan di peringkat KKDW dalam menggerakkan usaha bagi membantu mangsa-mangsa bencana itu.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pihaknya akan melancarkan Tabung Derma Kilat Bantuan Banjir dan menyediakan bantuan sama ada dalam bentuk kewangan atau barangan keperluan harian.
“Skuad Ihsan Madani akan ditubuhkan secara menyeluruh di peringkat kementerian, agensi dan anak-anak syarikat.
“Skuad ini boleh memberikan tumpuan terhadap pasca banjir, bagi membantu keluarga mangsa yang terjejas,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan bagi Bulan Disember 2024 dan sambutan Hari Inovasi dan Kualiti KKDW di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, usaha ini bukan sahaja mencerminkan komitmen KKDW dalam membantu rakyat menghadapi musibah, tetapi membuktikan semangat kesatuan dan keprihatinan dalam menjaga kebajikan masyarakat desa terjejas.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan bersedia sepenuhnya untuk menghadapi sebarang kemungkinan gelombang kedua yang dijangka berlaku pada 8 hingga 14 Disember ini.
“Pada gelombang kedua ini, Pahang dan Johor akan turut terlibat banjir dan kita harap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah membantu mereka
“Kesiapsiagaan perlu dibuat awal untuk mengelak perkara tak diingini berlaku,” katanya. – KOSMO! ONLINE