fbpx

Kes penganiayaan tidak boleh dibiar berlarutan – ATM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus konsisten dalam memastikan kejadian penganiayaan tidak hanya ditangani melalui tindakan disiplin dalam kalangan anggota.

Menerusi kenyataan ATM, bahkan budaya ketenteraan yang beretika, berdisiplin dan saling menghormati dalam setiap aspek latihan serta kehidupan ketenteraan juga diterapkan.

Menurutnya, ATM memandang serius terhadap kes penganiayaan di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) serta titah Kebawah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim semasa Majlis Istiadat Konvokesyen ke-14 UPNM semalam, jelas menzahirkan keprihatinan terhadap isu tersebut.

“Titah Baginda jelas menunjukkan bahawa kes penganiayaan ini tidak boleh dibiarkan berlarutan atau berlaku sama sekali.

“Ini kerana ia bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan pelajar, malah boleh mencemarkan reputasi institusi pengajian tinggi serta ATM secara amnya,” menurut kenyataan itu hari ini.

ATM menegaskan, tanpa sebarang kompromi terhadap kekerasan atau penganiayaan, pihak tersebut komited untuk menegakkan perundangan dan melaksanakan langkah-langkah sewajarnya.

“Hal ini bagi mencegah kejadian seperti ini daripada berulang pada masa hadapan, demi memelihara maruah institusi ketenteraan serta kesejahteraan semua pegawai dan anggota yang dilatih,” katanya.

Semalam Kosmo! melaporkan, Sultan Ibrahim menzahirkan rasa dukacita terhadap kejadian buli dan penderaan yang berlaku di UPNM.

Seri Paduka Baginda bertitah, semua pihak mesti berusaha menghentikan budaya itu dan memulihkan nama baik UPNM.

ATM turut menjelaskan langkah jangka panjang akan dilaksanakan dalam menangani kes penganiayaan antaranya, tindakan disiplin tegas mengikut Akta Angkatan Tentera (AAT) 1972 iaitu segala keputusan berkaitan salah laku dibawa ke Lembaga Komandan akan diselaraskan dan dipersetujui bersama pihak UPNM selaras dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.

“Dari segi pembangunan budaya positif, ATM akan meningkatkan usaha memperkukuh nilai-nilai positif dalam kalangan Pegawai Kadet, termasuk melalui kempen kesedaran tentang bahaya buli, pengukuhan jati diri, serta penerapan prinsip kesaksamaan dan hormat-menghormati.

“Bagi pemantauan berterusan, ATM akan membuat pengisian bagi memenuhi perjawatan di ALK terutamanya bagi jawatan Jurulatih. ATM akan memperuntukkan perbelanjaan untuk pemasangan televisyen litar tertutup (CCTV) di semua aras blok penginapan Pegawai Kadet,” katanya.

ATM dan UPNM juga akan memastikan kesejahteraan dan keselamatan pelajar sentiasa menjadi keutamaan yang mana langkah ini merangkumi penyediaan saluran bagi pelajar melaporkan sebarang gangguan atau ancaman, serta pemberian sokongan psikologi kepada mangsa penganiayaan.

Seterusnya, ATM dan UPNM akan memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi dan badan-badan pendidikan lain bagi memastikan mutu dan standard etika yang tinggi terus dikekalkan dalam sistem latihan ketenteraan di institusi tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI