PUTRAJAYA – Kerajaan hari ini menerima sumbangan sebanyak RM35.8 juta daripada 23 buah syarikat korporat khusus bagi meringankan beban mangsa banjir di beberapa negeri baru-baru ini.
Sumbangan itu berjaya dikumpulkan pada Majlis Pengumpulan Dana Ihsan Madani Untuk Mangsa Banjir yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, di sini hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili kerajaan untuk menerima sumbangan itu.
Sumbangan itu diterima daripada YTL Corporation Berhad dan Yayasan Albukhary yang masing-masing menyumbangkan RM5 juta manakala Sapura Secured Technologies dan U Mobile Sdn Bhd masing-masing RM3 juta.
Turut menyumbang, Mah Sing Group Berhad, WCT Berhad, IJM Corporation Berhad, Kuala Lumpur Kepong Berhad, Berjaya Corporation Berhad dan Press Metal Berhad masing-masing sebanyak RM2 juta.
Anwar dalam ucapannya berkata, inisiatif kutipan sumbangan itu lahir secara spontan dan ia berjaya dikumpulkan dalam tempoh dua hari. – KOSMO! ONLINE