fbpx

Kerajaan nafi data 17 juta MyKad bocor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

JITRA – Kerajaan menafikan berlaku kebocoran data kad pengenalan atau MyKad melibatkan seramai 17 juta rakyat Malaysia seperti didakwa di media sosial.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau telah meminta agensi keselamatan dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk melakukan siasatan berhubung perkara itu.

“Setakat ini, tiada insiden kebocoran yang dilaporkan. Kerajaan memberi jaminan bahawa integriti data terutama maklumat penduduk sentiasa dijaga,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Bukit Tinggi, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung dakwaan kebocoran data MyKad dan dijual di laman web gelap seperti didakwa seorang pengguna laman X.

Saifuddin pada masa sama meminta rakyat agar berhati-hati dengan penyebaran maklumat tidak sahih seperti itu.

“Dakwaan itu timbul daripada seorang pengguna media sosial, dia pamerkan beberapa MyKad tetapi yang dia kata itu 17 juta. Saya segera semak dengan JPN dan Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan (NACSA) yang berautoriti dengan keselamatan IT dan kerajaan. Kedua-duanya sahkan tiada insiden itu (kebocoran dilaporkan,” ujarnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan terbuka untuk menubuhkan suruhanjaya bebas melibatkan agensi penguatkuasaan lain supaya sebarang aduan orang awam dapat disalurkan dengan cepat.

Beliau berkata, pada masa ini hanya Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang diwujudkan sejak Julai tahun lalu berfungsi dalam menerima aduan awam berkaitan pasukan berkenaan.

Setakat semalam, IPCC menerima sebanyak 529 aduan selepas lebih setahun Akta IPCC 2022 (Akta 839 dikuatkuasakan pada 1 Julai tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI