KUALA LUMPUR – Kerajaan bersedia untuk mengharamkan sepenuhnya penggunaan vape di negara ini sekiranya mendapat sokongan semua pihak.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, kerajaan boleh menggunakan perundangan sedia ada untuk tujuan berkenaan.
“Bagaimana dasar untuk mengharamkan vape tersebut, kita boleh mengguna pakai perundangan sedia ada jika ada sokongan padu semua Ahli Parlimen dan rakyat,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Dr. Halimah Ali (PN-Kapar) sama ada kerajaan berhasrat mengharamkan terus penggunaan vape yang didakwa boleh menjejaskan kesihatan mental rakyat.
Lukanisman berkata, pihaknya tidak dapat mengaitkan penggunaan vape dengan masalah mental sebagai sebab untuk melaksanakan pengharaman tersebut buat masa ini.
Menurut beliau, impilkasi penggunaan vape terhadap masalah mental seseorang manusia masih diperingkat kajian yang sedang dilakukan secara konsisten.
“Kita tidak dapat mengatakan penggunaan vape mempengaruhi kesihatan mental, tetapi kajian secara konsisten sedang dilakukan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE