KUALA LANGAT – Polis telah selesai merekodkan keterangan daripada saksi-saksi terlibat berhubung kematian seorang pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya hanya menunggu laporan rasmi bedah siasat dan makmal sebelum dihantar ke Mahkamah koroner.
Katanya, siasatan masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Kita sudah lengkapkan siasatan dan akan hantar ke Mahkamah koroner untuk inkues. (Hanya) tunggu laporan rasmi perubatan termasuk bedah siasat dan makmal, ” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, hari ini.
Terdahulu, beliau menyempurnakan pemakaian pangkat Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi dan menyaksikan serah terima tugas jawatan itu antara pemangku sebelum ini, Deputi Superintendan Mohd. Sufian Amin dan Mohd. Akmal.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seramai 34 individu telah diambil keterangan yang antaranya melibatkan pegawai perubatan, pegawai jurulatih, pelajar-pelajar terlibat dan pengadu.
Dalam pada itu, Hussein memaklumkan pihaknya sentiasa siap sedia dalam menghadapi Monsun Timur Laut sama ada dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan menjaga kemananan.
“Kita memang sedia dari Oktober lagu dengan episod baharu (banjir) yang terkesan adalah di Kapar. Polis dan agensi lain telah berjaya menguruskan dengan baik termasuk pusat pemindahan sementara (ketika berlakunya banjir) dan telah tutup pun sekarang.
“Kita tidak membekukan cuti sepenuhnya anggota dan pegawai. Kalau keadaan memerlukan, kita akan panggil balik (mereka yang bercuti untuk membantu operasi libatkan banjir ini),” katanya. – KOSMO! ONLINE