BANGKOK – Sebuah hotel usang dan terbiar digelar ‘kapal hantu’ musnah dalam satu kebakaran di Pulau Koh Chang, Thailand, lapor akhbar Bangkok Post.
Polis dan radio online, JS100 Radio melaporkan bahawa kebakaran di Koh Chang Grand Lagoona berlaku sebelum tengah hari.
“Kebakaran bermula di tingkat bawah sebelum api mula merebak ke tingkat atas sekali gus mengakibatkan bangunan itu musnah dijilat api.
“Pasukan bomba cuba memadam api yang merebak tetapi gagal,” kata laporan itu.
Tambah polis, punca kebakaran masih belum diketahui, manakala siasatan sedang giat dijalankan.
Koh Chang Grand Lagoona Resort yang dibuka pada 2004 terkenal dengan reka bentuknya yang menyerupai sebuah kapal.
Meskipun kapal hantu itu tidak didiami, ia pernah menjadi lokasi tumpuan pelancong dan sering digunakan untuk penggambaran filem. – AGENSI