SUNGAI PETANI- ‘Naluri saya dan isteri kuat mengatakan anak masih hidup, kami sentiasa berdoa agar anak dapat ditemui dengan cepat.”
Demikian kata Ahmad Tarmizi Safar dan Zuraida Abu Bakar yang masing-masing berusia 54 tahun berhubung kehilangan anak mereka iaitu Lans Koperal Ahmad Zulhilmi, 24, dalam satu operasi di Banding, Perak pada Sabtu lalu.
Menurut Ahmad Tarmizi, dia yakin anaknya yang merupakan anggota dari pasukan 22 Komando akan ditemui dalam keadaan selamat.
“Anak saya mempunyai kepakaran sebagai anggota juruselam dalam unit elit itu, jadi kami percaya dia akan ditemui juga dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Padang Limau, Kota Kuala Muda di sini hari ini.
Ahmad Tarmizi yang juga seorang pesawah berkata, dia menyerahkan usaha pencarian anaknya itu kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana pihak terlibat lebih mengetahui dan mempunyai kepakaran menjejaki orang hilang. – KOSMO! ONLINE