PUTRAJAYA – Tan Sri Idrus Harun dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang baharu bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa 25 November hingga 24 November 2027.
Pelantikan itu bagi menggantikan mantan Pengerusi, Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus yang dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkuat kuasa 3 Julai lepas.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, Idrus memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Malaya, membawa pengalaman lebih 40 tahun dalam bidang perundangan, termasuk sebagai Peguam Negara, Hakim Mahkamah Rayuan, dan Hakim Mahkamah Persekutuan.
Jelasnya, pelantikan ini dilakukan di bawah Seksyen 5(1)(a) Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 [Akta 713].
“Berdasarkan pengalaman luas dan kepakaran yang dimiliki, saya yakin pelantikan beliau akan memastikan kesinambungan usaha pemerkasaan peranan MyCC sebagai salah satu agensi di bawah KPDN.
“Selain itu, saya juga berharap beliau dapat membawa hasrat agenda reformasi Kerajaan melalui pindaan Akta Persaingan 2010 [Akta 712] untuk memperkasakan lagi kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan MyCC termasuk memperkenalkan rejim penggabungan dan pengambilalihan untuk menghalang pembentukan awal kartel atau monopoli yang bermasalah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu beliau turut merakamkan penghargaan kepada Mohd Hishamudin atas sumbangan besar beliau sepanjang tempoh perkhidmatannya. – KOSMO! ONLINE