KLUANG – Seorang anak sanggup bertindak luar kawalan menikam ibu kandungnya sendiri hingga mati di Felda Ayer Hitam, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 pagi itu, wanita berusia 50-an meninggal dunia ditangan anaknya yang berusia 20-an akibat cedera ditikam pada bahagian pinggang.
Difahamkan, sebelum ketika kejadian, berlaku pertengkaran antara suspek dan ibunya kerana ibunya menegur suspek menghisap vape.
Akibat berang dengan bebelan ibunya, suspek bertindak menikam mangsa dari arah belakang ketika sedang menikmati sarapan pagi di dapur.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mangsa dikejarkan ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 11 pagi.
“Susulan daripada kejadian itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 20 tahun ditahan ditempat kejadian oleh sepasukan pegawai daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dan Balai Polis Sri Lalang,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Bahrin lagi, semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau manakala ujian air kencing mendapati tiada pengaruh dadah.-KOSMO! ONLINE