MUAR – Seorang guru lelaki berputih mata apabila wang simpanan RM198,550 lesap dikebas sindiket penipuan dalam talian.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, mangsa yang berusia 54 tahun itu menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai wakil Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Ujarnya, mangsa diberitahu kononnya telah melakukan mengubahsuaian terhadap meter elektrik dan terdapat waran tangkap terhadapnya.
“Panggilan seterusnya disambung ke seorang ‘pegawai polis’ dan menyatakan mangsa juga terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram.
“Mangsa diminta untuk membuat bayaran untuk membuktikan bahawa dia tidak bersalah. Oleh kerana takut dikenakan tindakan dan percaya dengan taktik itu, mangsa melakukan 19 transaksi ke akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM198,550,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, mangsa bagaimanapun menyedari dia telah ditipu sebelum membuat laporan polis pada pukul 4.30 petang semalam.
Katanya, satu kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibuka bagi menjalankan siasatan penipuan ke atas guru tersebut.-KOSMO! ONLINE