PETALING JAYA – Meskipun sedang menunaikan ibadah umrah, tindakan pelakon Fattah Amin menggunakan lagu Pesan Terakhir sebagai muzik latar dalam sebuah video mengundang doa ramai agar dia dan bekas isteri Nur Fazura kembali bersatu.
Menggunakan lagu milik penyanyi Indonesia, Lyodra Ginting, ramai mula membuat andaian video TikTok milik Fattah atau nama penuh Abdul Fattah Mohd. Amin itu mempunyai kaitan dengan Fazura.
“Ku tak membencimu, ku harap kau pun begitu”, itu bahagian lirik yang digunakan Fattah untuk video tersebut.
Bahagian lirik tersebut membuatkan ramai mula berdoa agar Fattah kembali bersatu dengan Fazura sebagai suami isteri.
“Lagu jadi jawapan, semoga kembali bersatu, amin.
“Lirik lagu ini secara keseluruhan sangat sedih. Kalau benar menggambarkan perasaan Fattah, semoga Allah SWT permudahkan.
“Selagi berada di sana, berdoalah sebanyak mungkin untuk kebahagiaan sendiri Fattah,” komen netizen.
Bukan hanya lagu, kapsyen yang ditulis Fattah turut mengundang tanda tanya selain mendoakan yang terbaik untuk bintang drama Hero Seorang Cinderella itu.
“Terus berdoa sampai bismillah menjadi Alhamdulillah,” katanya ringkas.
Pada 26 November lalu, Fattah selamat berangkat ke Tanah Suci menunaikan ibadah umrah bersama keluarganya termasuk ibu bapa dan tiga adik perempuannya.
Terdahulu Fazura dan Fattah sah bercerai talak satu pada 7 Oktober lalu di Mahkamah Syariah Petaling Subang Bestari selepas tujuh tahun hidup bersama. – KOSMO! ONLINE