LONDON – Pemain tengah Chelsea, Cole Palmer sedia meneruskan rentak cemerlang bagi membantu pasukan itu mengutip tiga mata penuh menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Southampton di Stadium St. Mary awal pagi esok.
The Blues berpeluang untuk melonjak kedudukan ke tangga kedua liga sekiranya menewaskan Southampton dengan pencabar terdekat, Arsenal berdepan aksi sukar menentang musuh tradisi, Manchester United.
Palmer yang sudah meledak lapan gol pada kempen kali ini menjelaskan, prestasi cemerlang dipamerkan bersama Chelsea bukan hanya disebabkan bakatnya semata-mata, namun ia turut dipengaruhi hasil kerjasama rakan sepasukan, terutamanya Nicolas Jackson.
“Saya dan Nico (Jackson) bekerjasama dengan cukup baik dalam setiap perlawanan. Hubungan kami bukan sekadar rakan sepasukan, malah dia adalah sahabat saya kerana sentiasa bersembang selepas tamat perlawanan.
“Sudah tentu saya mengharapkan hubungan kami sebagai rakan karib boleh membantu kami ketika beraksi di atas padang. Saya percaya semua orang sudah nampak apa yang kami mampu lakukan sekarang,” katanya.
Dalam pada itu, dia juga senada dengan pengurus, Enzo Maresca untuk tidak memberi perhatian kepada perebutan takhta liga kerana menganggap Chelsea belum bersedia mencabar pasukan-pasukan seperti Liverpool, Arsenal dan Manchester City. – AGENSI