MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola belum mahu mengibar ‘bendera putih’ meskipun pasukan itu berdepan krisis terbesar sejak beliau dilantik sebagai pengendali The Citizens pada 2016.
Juara bertahan Liga Perdana itu secara tiba-tiba berdepan aksi tidak menentu apabila gagal mencatat sebarang kemenangan dalam tujuh perlawanan terakhir, termasuk tewas 0-2 kepada pendahulu liga, Liverpool kelmarin.
Guardiola langsung tidak terkesan dengan provokasi dilakukan penyokong Liverpool yang mengatakan beliau akan dipecat dalam masa terdekat, sebaliknya bekas jurulatih Barcelona itu sedia untuk kembali mengangkat martabat City.
Juara Eropah 2023 itu berpeluang untuk menamatkan kemarau kemenangan apabila bakal melayan kunjungan Nottingham Forest di Stadium Etihad awal pagi esok dengan beberapa pemain utama dilaporkan pulih daripada kecederaan.
“Saya tidak peduli dengan semua (provokasi) itu kerana saya pernah berada dalam keadaan lebih baik berbanding sekarang. Jujur saya katakan bahawa saya tidak tertekan meskipun berdepan situasi seperti ini.
“Sekarang kami sudah tidak sekuat seperti dahulu dan itulah realitinya ketika ini. Keadaan ini disebabkan oleh banyak faktor, bukan hanya berpunca daripada kecederaan yang dialami Rodri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa supaya barisan pemainnya terus cekal dan tidak mudah berputus asa selain menerima dengan hati terbuka situasi pasukan yang jauh berbeza berbanding sebelum ini. – AGENSI