MANCHESTER – Penggempur utama Manchester United, Marcus Rashford memberi amaran kepada Arsenal bahawa pasukan itu akan berdepan skuad The Red Devils yang jauh berbeza berbanding aksi sebelum ini di Emirates awal pagi esok.
United menikmati kemenangan 4-0 menentang Everton kelmarin sekali gus menjadi kejayaan pertama buat pengendalinya, Ruben Amorim dalam saingan Liga Perdana Inggeris ketika Rashford dan Joshua Zirkzee masing-masing meledak dua gol.
“Ia memberikan dorongan kepada kami untuk belajar sesuatu yang baru dan saya fikir menjadi semakin kuat dengan sistem permainan seperti ini.
“Kepada pasukan lain, kami tidak lagi menggunakan cara permainan yang lama, anda tidak mampu untuk menjangkakan apa-apa daripada kami dan ia meletakkan kami dalam kedudukan yang baik.
“Kami memiliki ramai pemain yang mampu bermain untuk posisi yang berbeza, jadi kami mampu membuat banyak perubahan ketika dalam perlawanan. Ia adalah keterujaan yang sudah lama kami nantikan.
“Biarpun masih baharu dengan pengurus kali ini, namun saya sangat selesa serta bersedia untuk aksi menentang Arsenal,” katanya.
Tambahnya, era Amorim baru sahaja bermula dan masih banyak peningkatan perlu dilakukan, namun Rashford percaya kemampuan pengendali dari Portugal itu untuk mengubah nasib United.
“Beliau (Amorim) hadir dengan sikap yang hebat dan ia juga memberi tempias kepada pemain. Suasana adalah suatu yang sangat istimewa mengenai kelab ini dan beraksi di tempat sendiri sentiasa menjadi pengalaman hebat untuk dilalui,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Amorim berdepan sedikit isu menjelang aksi menentang The Gunners apabila dua pemain tonggak tidak dapat beraksi ekoran penggantungan akibat melebihi had kutipan kad kuning.
Pada perlawanan itu nanti, United terpaksa turun tanpa kelibat pemain pertahanan, Lisandro Martinez dan pemain tengah, Kobbie Mainoo menyebabkan Amorim perlu mencari pengganti terbaik mengisi kekosongan tersebut. – AGENSI