SETIU – Biarpun banjir sudah semakin surut di daerah ini, namun penduduk Kampung Nyatuh, di sini masih teragak-agak untuk pulang membersihkan rumah mereka semalam.
Mereka yang berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Surau Kampung Nyatuh gundah kampung itu dilanda banjir lagi ekoran amaran luruan hujan yang dijangka melanda Pantai Timur pada 8 hingga 14 November ini.
Seorang penduduk, Zakaria Ismail, 77, berkata, setakat ini, banjir belum surut sepenuhnya dengan sebahagian kawasan masih ditenggelami air sedalam setengah meter.
“Saya belum cuci rumah lagi kerana bimbang dengan gelombang banjir terbaharu yang dijangka bermula Ahad ini.
“Penat kena bersih rumah banyak kali setiap kali berlaku gelombang banjir musim tengkujuh. Tenaga saya pun sudah tidak banyak mana,” katanya ketika ditemui semalam.
Terdahulu Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran luruan hujan yang boleh meningkatkan risiko banjir khususnya di Pantai Timur pada 8 hingga 14 Disember ini.
Zakaria berkata, buat masa ini, dia sekeluarga hanya mencuci rumah ala kadar dengan barangan penting dibersihkan. Dia risau luruan hujan terbaharu itu akan menyebabkan perkampungan tersebut dilanda banjir termenung.
“Saya sudah lali dengan fenomena banjir termenung sejak menetap di sini hampir 50 tahun lalu. Masuk PPS sudah menjadi rutin kami setiap kali tengkujuh,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Che Abu Che Jantan, 59, berkata, dia sanggup meneruskan tradisi menjadi antara mangsa banjir paling lama menetap di PPS saban tahun.
“Biasanya keluarga saya paling awal mendaftar masuk PPS Surau Kampung Nyatuh tetapi paling akhir mendaftar keluar. Kami tidak teruja pulang awal mencuci kerana tahu rumah pasti akan kembali tenggelam apabila berlaku hujan lebat dalam masa terdekat,” katanya.