BALIK PULAU – Dua lelaki warga China masing-masing didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mencuri wang penumpang lain ketika berada di dalam pesawat, baru-baru ini.
Tertuduh, Xin Min, 61 dan He Dapeng, 51, bagaimanapun mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Kedua-dua mereka juga mengakui fakta kes yang dibacakan kepada mereka oleh jurubahasa.
Mengikut pertuduhan terhadap Xin Min, tertuduh didakwa telah mencuri wang tunai berjumlah New Taiwan Dollar 24,000 dan RM200 milik Lye Khai Seng, antara 10.20 pagi hingga 10.30 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), pada 24 November lalu.
Bagi pertuduhan yang dihadapi He Dapeng, dia yang merupakan usahawan inap desa di China dituduh telah mencuri wang berjumlah RM2,000 milik Teng Chin Wee, antara pukul 8.20 pagi hingga 8.40 pagi di LTAPP, 21 November lalu.
Kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Md Yusuf Md Idris manakala pendakwaan dikendalikan oleh R.Lushini.
Majistret kemudian memerintahkan agar Xin Min dikenakan denda RM3,700 manakala He Dapeng sebanyak RM2,000 dan hukuman penjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Difahamkan kedua-duanya membayar denda yang dikenakan. – KOSMO! ONLINE