JAKARTA – Dua wanita bertudung labuh mengundang perhatian pengguna media sosial selepas mencuri barangan kemas dari sebuah kedai emas di Kupang, wilayah Nusa Tenggara Timur, lapor portal berita Tribunnews hari ini.
Kejadian itu dirakam kamera televisyen litar tertutup (CCTV) sebelum dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @ntt.update.
Rakaman menunjukkan dua wanita berjubah berpura-pura melihat rantai emas yang ditunjukkan oleh seorang pekerja.
Selepas berjaya menyembunyikan beberapa rantai emas, mereka dengan pantas meninggalkan premis itu, namun tidak diketahui bagaimana kedua-dua suspek bertindak demikian.
Pengurusan Toko Mas Sahabat menyatakan bahawa mereka mengalami kerugian sebanyak 70 juta rupiah (RM19,540) dalam kejadian tersebut.
Rakaman itu mencatatkan lebih 107,000 tontonan dan menimbulkan kemarahan dalam kalangan netizen.
“Jika pakaian sudah menutupi aurat, kelakuan seharusnya dijaga tetapi ini sebaliknya!” marah seorang netizen.
“Ini bukan ukhti tetapi ninja,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI