KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat dimaklumkan seramai 31,481 penjawat awam memilih untuk bersara awal dari tahun 2022 hingga September lalu dengan jumlah tertinggi direkodkan adalah pada tahun ini membabitkan seramai 8,199 orang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, jumlah penjawat awam yang bersara awal bagi tahun ini mengikut kategori bawah 50 tahun adalah seramai 826 orang.
“Bawah 55 tahun 5,569 orang dan bawah 60 tahun 1,804 orang. Ini menjadikan jumlah keseluruhan sehingga September 2024 seramai 8,199 orang,” katanya menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) tentang jumlah penjawat awam yang bersara awal mengikut kategori bawah 50 tahun, 55 tahun dan bawah 60 tahun daripada Januari 2020 sehingga Ogos lalu.
Dalam pada itu, Dr. Zaliha memaklumkan, kategori umur 55 tahun merekodkan angka tertinggi penjawat awam bersara awal pada tahun 2022 iaitu seramai 7,379 orang.
Menurut beliau, bagi kategori bawah 50 tahun, penjawat awam yang bersara awal pada tahun 2022 adalah seramai 979 orang, manakala bagi umur bawah 60 tahun membabitkan 2,702 orang.
Jelas beliau, angka itu menjadikan jumlah keseluruhan persaraan awal penjawat awam yang direkodkan sepanjang 2022 adalah seramai 11,065 orang.
Kata beliau, bagi jumlah penjawat awam bersara awal tahun lalu pula, kategori bawah 50 tahun seramai 1,166 orang, bawah 55 tahun (8,099) dan bawah 60 tahun (2,952)
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan bagi 2023 seramai 12,217 orang,” katanya. – KOSMO! ONLINE