SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) opitimis kutipan zakat mampu melebihi sasaran berjumlah RM1.22 bilion yang ditetapkan pada tahun ini.
Ketua Pegawai Operasinya, Ahmad Fadhil Hassan berkata, statistik terbaharu pihaknya merekodkan kutipan sebanyak RM844 juta sehingga bulan lalu.
“Trend pembayaran zakat kebiasaannya bertambah pada Disember yang dianggap bulan puncak tahun ini dan kita menyasarkan kutipan RM400 juta lagi bagi memastikan jumlah itu melebihi RM1.12 bilion pada tahun lalu,” katanya selepas melancarkan Kempen Sama-Sama Kongsi di pejabat cawangan Alami Seksyen 13 di sini, hari ini.
Menurut Ahmad Fadhil, seramai 322,000 pengeluar zakat di Selangor sama ada individu dan syarikat korporat telah menunaikan kewajipan itu.
“Sepanjang tempoh 11 bulan pertama ini, LZS turut mengagihkan zakat berjumlah RM1 bilion,” ujarnya.
Sementara itu, Ahmad Fadhil berkata, pembayar zakat sebanyak RM500 di Selangor layak menerima sumbangan khairat kematian RM1,500 berkuat kuasa mulai Januari tahun depan.
Jelasnya, skim yang dilaksanakan sejak Oktober lalu itu melayakkan pengeluar zakat menerima sumbangan berkenaan jika berlaku sebarang kematian selepas tempoh tiga bulan. – KOSMO! ONLINE