fbpx

Banjir gelombang ketiga diramal landa Pantai Timur bermula Ahad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Terengganu, Kelantan dan Pahang berkemungkinan berdepan hujan lebat berterusan berserta angin kencang yang sekali gus membawa kepada banjir gelombang ketiga.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, keadaan tersebut dijangka bermula 8 hingga 14 Disember 2024 ekoran kehadiran luruan monsun bagi tempoh itu.

Katanya, selain Pantai Timur, kehadiran luruan monsun ini juga berpotensi membawa hujan lebat berpanjangan ke negeri Sarawak dan Sabah.

“Hujan lebat turut berpotensi melanda kawasan di sebelah barat Semenanjung apabila intensiti luruan adalah kuat sekali gus menyebabkan berlakunya angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Mohd. Hisham, kehadiran luruan monsun pada tempoh tersebut dijangka tidak sekuat gelombang kedua yang berakhir 30 November lalu.

Bagaimanapun katanya, situasi banjir di negeri Kelantan dan Terengganu yang belum surut sepenuhnya, keadaan tanah tepu di kawasan terlibat serta turunan hujan semasa luruan pada tempoh akan datang boleh menyebabkan bencana alam itu berlaku lagi.

“MetMalaysia akan terus memantau keadaan luruan ini dan akan mengeluarkan amaran hujan berperingkat bagi kawasan-kawasan yang bakal terkesan dengan hujan lebat sekurang kurangnya tiga hari sebelum kejadian.

“Masyarakat perlu cakna dan peka dengan keadaan cuaca di kawasan masing-masing semasa musim tengkujuh Monsun Timur Laut (MTL) yang telah bermula sejak 5 November 2024 dan dijangka berakhir pada Mac 2025,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI