KUALA LUMPUR – Jaguh perseorangan badminton Denmark, Viktor Axelsen meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Persekutuan Badminton Dunia (BWF) terutama soal kebajikan pemain.
Kelmarin, Axelsen mengesahkan menarik diri daripada saingan Jelajah Dunia Akhir BWF (WTF) dijadual berlangsung di Hangzhou, China dari 11 hingga 15 Disember ini susulan kecederaan kaki kirinya.
Menerusi perkongsian di akaun X lewat malam semalam, pemain nombor tiga dunia itu berkata, dia telah menerima emel daripada BWF dan meminta untuk menyerahkan dokumen sokongan perubatan untuk membolehkan pengecualian denda.
“Saya telah beberapa kali menghantar dokumen sokongan apabila saya sakit atau cedera. Namun, setiap kali juga saya tetap didenda.
“Membaca tentang kes Beiwen Zhang (pemain perseorangan wanita Amerika Syarikat) hanya menguatkan lagi pendapat saya. BWF sering mendakwa mereka peduli tentang kebajikan pemain, tetapi adakah ia benar?
“Jadi, hantar sahaja denda itu kepada saya,” katanya.
Jelajah Dunia Akhir BWF adalah kejohanan akhir musim yang menghimpunkan lapan pemain terbaik dalam ranking jelajah dunia.
Kekosongan yang ditinggalkan Axelsen akan diisi oleh pemain China, Li Shi Feng yang kini berada di kedudukan kelapan dalam ranking WTF.
Dengan penarikan Axelsen, persaingan di WTF dijangka lebih terbuka sekali gus memberi peluang kepada pemain lain untuk merebut gelaran berprestij tersebut.
Terdahulu, Axelsen layak secara automatik ke kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak AS$2.5 juta (RM11.17 juta) itu selaku pemenang pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024. – KOSMO! ONLINE