PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim zahirkan penghargaan beliau di atas prestasi tadbir urus Bank Rakyat yang memberangsangkan, termasuk kejayaan meningkatkan jumlah aset terkumpul.
Tambah Anwar, prestasi yang ditunjukkan itu sekali gus menjadikan Bank Rakyat sebagai bank Islamik terbesar di Malaysia.
“Menerima kunjungan hormat Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak di Parlimen pagi ini. Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta pimpinan tertinggi Bank Rakyat.
“Perbincangan kami juga tertumpu kepada agenda memantapkan sistem perbankan Islam yang harus diteliti secara lebih mendalam. Saya tegaskan konsep kewangan Islam perlu berdasarkan prinsip sebenar dan berteraskan keadilan, ihsan dan terangkum.
“Saya turut nyatakan sokongan terhadap inisiatif Bank Rakyat untuk memperkasa pembiayaan hijau yang selari dengan agenda kemampanan negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Tambah Perdana Menteri, Bank Rakyat harus terus berusaha memenuhi mandat penubuhannya, di samping meneroka peluang baharu bagi mewujudkan model perniagaan yang lebih berdaya saing dan mampan. – KOSMO! ONLINE.