PETALING JAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Menteri Luar Australia, Penny Wong yang kini berada di Malaysia bagi menghadiri Mesyuarat Tahunan Menteri Luar Malaysia-Australia kali ke-6.
Pada pertemuan berkenaan, Anwar dan Penny antara lain membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang ekonomi, pertahanan, keselamatan siber dan pendidikan tinggi menjelang ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Malaysia-Australia pada 2025.
Menerusi pertemuan selama 30 minit itu, Australia turut menyatakan sokongan kepada Malaysia yang akan menggalas tanggungjawab besar sebagai Pengerusi ASEAN tahun hadapan.
“Kami berbicara sekitar setengah jam terkait usaha memperkukuh persahabatan dan hubungan diplomatik Malaysia-Australia yang bakal menginjak usia tujuh dekad pada tahun depan.
“Malaysia dan Australia senada dalam komitmen untuk terus mempererat hubungan ini terutama dalam bidang pelaburan dan perdagangan, maritim, tenaga, latihan, keselamatan siber, pendidikan tinggi dan selainnya,” tulis Anwar di Facebook hari ini.
Penny juga zahirkan ucapan simpati bagi pihak Australia kepada ratusan ribu rakyat Malaysia di beberapa negeri yang sedang berdepan ujian getir tatkala berdepan musibah banjir yang mengakibatkan kemusnahan rumah dan harta benda.
Beliau turut menyatakan sokongan Australia terhadap kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025.
“Saya panjangkan jemputan kepada Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese untuk berkunjung ke Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN tahun depan.
“Kami juga sempat bicarakan isu-isu geopolitik serantau dan antarabangsa khususnya terkait krisis kemanusiaan di Gaza serta konflik di Myanmar,” tulisnya. – KOSMO! ONLINE.