KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan agenda pembaharuan akan dilaksanakan dengan lebih hebat pada tahun depan sekali gus membolehkan ekonomi negara berkembang kukuh antara 4.5 hingga 5.5 peratus.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan terus mengimbangi usaha mengukuhkan kedudukan kewangan supaya lebih mampan dan memastikan dasar fiskal menyokong momentum pertumbuhan ekonomi negara.
“Langkah Belanjawan Madani Ketiga yang akan menyusul setiap penanda aras Ekonomi MADANI dengan tiga tumpuan membugar ekonomi, menjana perubahan dan mensejahtera rakyat.
“Belanjawan Madani Ketiga memperhebat usaha pembaharuan fiskal yang lebih tegas dan bersasar,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara di sini hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri berkata,
kedudukan ekonomi negara terus mengukuh selepas dua tahun pentadbiran Kerajaan Madani ekoran langkah tegas dan berperingkat diambil bagi mengurangkan kadar defisit secara konsisten.
Kata beliau, kerajaan malah berjaya mengawal jumlah hutang baharu yang menurun daripada kira-kira RM100 bilion pada tahun 2022 kepada lebih RM90 bilion pada tahun 2023 dan seterusnya dianggarkan RM85 bilion bagi tahun 2024, manakala unjuran pada tahun 2025 RM80 bilion.
Tambah beliau, angka terkini juga menunjukkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.2 peratus bagi tempoh sembilan bulan pertama 2024, sekali gus mengatasi unjuran Belanjawan 2024 iaitu pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2024 antara empat hingga lima peratus.
“Pengangguran setakat September lalu menurun kepada 3.2 peratus iaitu kadar terendah sejak Januari 2020, manakala tahap inflasi Oktober kekal rendah pada 1.9 peratus,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, beliau mengucapkan penghargaan kepada sektor swasta dan korporat kerana membantu meringankan beban mangsa banjir di beberapa negeri ketika ini.
Menurut beliau, setakat Oktober lalu, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Permodalan Nasional Berhad), Petronas, Yayasan Hasanah dan Pharmaniaga telah menyalurkan bantuan bernilai lebih RM10 juta.
Kata Perdana Menteri, beliau akan menerima sumbangan bantuan banjir daripada syarikat swasta terkemuka dengan jumlah terkumpul lebih RM35 juta. – KOSMO! ONLINE