KUALA LUMPUR – Kerajaan mengesan sebanyak 274 iklan di Facebook yang menyamar sebagai Jabatan Peguam Negara dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI)
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, iklan tersebut dikesan oleh pihak berwajib hanya dalam tempoh 13 hari.
Justeru, kerajaan mahu platform media sosial bertanggungjawab sekiranya penipuaan dalam talian berlaku memandangkan ‘scammer’ membayar platform tersebut.
“Ini adalah satu isu yang sangat penting kerana ‘scammer’ ini membayar Meta untuk menipu warga Malaysia. Jadi sangat-sangat penting kita memastikan platform ini dipertanggungjawabkan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menjawab soalan S. Kesavan (PH-Sungai Siput) apakah tindakan kerajaan untuk menghalang kandungan lucah di media sosial yang menyasarkan golongan belia.
Menjawab soalan itu, Nie Ching berkata, pihaknya mendapati dengan kewujudan teknologi terkini seperti AI, lebih banyak kandungan lucah telah dibuat.
Menurut beliau, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) malah telah menurunkan sebanyak 186 kandungan lucah pada tahun 2022.
“Jumlah itu meningkat apabila sebanyak 1,125 kandungan lucah diturunkan MCMC setakat 1 Disember 2024.
“Kandungan berkaitan seksual kanak-kanak telah meningkat dari 34 pada tahun 2022 kepada 800 pada 2024,” katanya.
Justeru, katanya, beliau berharap semua pihak menyokong Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Akta 588 bagi menangani perkara tersebut. – KOSMO! ONLINE