KINSHASA – Seramai 143 orang meninggal dunia di Republik Demokratik Congo (DRC) disebabkan sejenis penyakit yang tidak diketahui dalam penularan baharu yang membimbangkan pegawai-pegawai kesihatan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lapor akhbar Daily Mail.
Menurut pegawai-pegawai tempatan, pesakit mengalami simptom seperti selesema, termasuk demam panas dan sakit kepala teruk dengan wanita dan kanak-kanak dilaporkan paling terjejas.
Mereka yang menghidap penyakit itu meninggal dunia di rumah masing-masing dan bergelut untuk mendapatkan rawatan ketika DRC kini sedang menghadapi wabak mpox.
Kematian direkodkan di wilayah Kwango, barat daya negara itu dan di sempadannya dengan Angola.
Timbalan Gabenor wilayah itu, Remy Saki dan Menteri Kesihatannya, Apollinaire Yumba berkata, pegawai-pegawai kesihatan sedang mengumpul sampel dan menjalankan analisis untuk mengenal pasti penyakit tersebut.
Seorang pemimpin masyarakat, Cephorien Manzanza berkata, penyakit itu amat membimbangkan kerana bilangan orang yang dijangkiti terus meningkat.
Masih tidak jelas jenis penyakit yang menyebabkan kematian itu tetapi DRC sehingga kini telah memerangi lebih 12 penularan wabak Ebola.
Pegawai kesihatan juga masih belum melaporkan sebarang keputusan daripada ujian dijalankan, manakala tidak dinyatakan sama ada pesakit diuji negatif untuk penyakit biasa lain.
Seorang jurucakap WHO berkata, ia telah dimaklumkan mengenai kemunculan penyakit itu minggu lalu dan kini bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Awam Congo untuk membuat siasatan lanjut. – AGENSI