PETALING JAYA – “Tolong jangan minta maaf kerana terpaksa gunakan media sosial sebagai medium.”
Demikian antara kata-kata semangat selebriti popular, Lisa Surihani buat rakan seperjuangan, Zahnita Wilson yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Kata Lisa atau nama sebenarnya, Lisa Surihani Mohamed, 38, Zahnita melakukan perkara yang betul sebagai seorang isteri dan kini kesnya sudah disiasat pihak berkuasa.
“Saya sangat bersyukur apabila anda berjaya keluar dari rumah. Dan anda melakukan perkara yang tepat dengan melaporkan kejadian ini kepada polis.
“Tolong jangan minta maaf kerana terpaksa menggunakan media sosial sebagai medium. Diharapkan anda dijauhkan daripada segala bahaya.
“Semoga Allah melindungi anda dan hilangkan segala trauma yang dialami,” tulisnya.
Semalam media melaporkan Zahnita dipukul oleh suaminya selepas dia bertanya tentang kehadiran orang ketiga.
Menurut Zahnita dia sudah tidak lagi mampu bertahan selepas 20 tahun hidup bersama.
Suaminya yang dikenali sebagai Abdul Zackery Ghouse telah ditahan reman selama tiga hari sejak semalam bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE