DOHA – Pelumba Red Bull, Max Verstappen menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap George Russell selepas insiden kelayakan di Grand Prix (GP) Qatar menyebabkannya hilang kedudukan petak pertama.
Juara dunia empat kali itu menyifatkan situasi berkenaan secara tidak langsung menyaksikan dia hilang rasa hormat terhadap pesaing dari Mercedes tersebut.
“Saya tak percaya hukuman itu diberikan kepada saya. Tapi, dengan cara tertentu, saya tak lagi terkejut dengan dunia yang saya hidup sekarang ini,” kata Verstappen.
Ia susulan Verstappen dikenakan hukuman penurunan satu petak akibat kesalahan memandu terlalu perlahan dan menghalang laluan Russell di fasa terakhir sesi kelayakan.
Meskipun Verstappen berjaya memenangi perlumbaan GP Qatar biarpun bermula di kedudukan kedua, namun insiden di bilik pengadil sehari sebelumnya terus membayangi perasaannya.
“Saya cuba bersikap baik dan tak mahu mengganggu pemandu lain memandangkan kejuaraan saya sudah terjamin. Namun, tindakan itu menghukum saya, rasa seperti bercakap dengan dinding ketika di bilik pengadil,” tambah Verstappen.
Pemandu berusia 26 tahun itu turut mengkritik Russell selain mendakwa personaliti pelumba dari Mercedes tersebut berbeza apabila berada di luar perhatian kamera.
Dalam perlumbaan di Litar Lusail awal pagi semalam, Verstappen dengan memintas Russell di selekoh pertama sebelum bertarung sengit dengan Lando Norris yang kemudiannya dikenakan penalti stop-and-go selama 10 saat kerana melanggar peraturan bendera kuning.
Kejayaan GP Qatar itu adalah kemenangan pertama Verstappen selepas mengesahkan gelaran juara dunia di Las Vegas seminggu sebelumnya sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai pelumba terbaik musim ini. – AGENSI