TANGKAK – Dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini dibuka semula selepas ditutup kelmarin bagi menempatkan 141 mangsa daripada 39 keluarga yang terjejas banjir.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat pukul 12 tengah hari sebanyak 18 PPS di Segamat dibuka sejak Jumaat lalu yang menempatkan seramai 927 mangsa.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, jumlah mangsa banjir di Segamat dan Tangkak meningkat kepada 1,068 orang berbanding 958 orang malam tadi.
Beliau yang Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri turut menasihatkan penduduk yang terjejas supaya segera berpindah ke PPS demi keselamatan.
“Ketika ini, luruan Monsun Timur Laut dari negeri Pantai Timur sudah beralih ke Johor. Jadi semua rakyat diminta berwaspada dan ikut arahan pasukan keselamatan dari semasa ke semasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE