PENINGKATAN ditampilkan beregu campuran sedang meningkat naik, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin sepanjang musim ini membuktikan skuad badminton negara tidak ketandusan bakat dalam acara tersebut.
Ia sedikit sebanyak meredakan tekanan dipikul gandingan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei apabila sering menjadi sandaran setiap kali menggalas misi Malaysia dalam kejohanan disertai.
Ee Wei berkata, kebangkitan Pang Ron-Su Yin dalam arena badminton dunia memberi kesan positif terhadap skuad beregu campuran negara.
“Memang mereka sudah meningkat naik dan saya fikir perkembangan ini adalah satu perkara yang bagus buat skuad beregu campuran kerana kami memerlukan lebih ramai beregu muda untuk naik bersama kami.
“Sekarang kami tidak bersendirian lagi selain mendapat rakan sepelatih yang cukup baik. Seperti biasa, kami akan cuba tampilkan aksi terbaik setiap kali turun ke gelanggang dalam setiap kejohanan,” katanya.
Terdahulu, Pang Ron-Su Yin mencipta sensasi apabila muncul naib juara China Masters hujung bulan lalu, sekali gus menyaksikan ranking mereka meningkat ke No. 18 dunia dari kedudukan ke-23.
Pasangan yang digandingkan sejak November tahun lalu itu mengharungi musim cemerlang apabila kerap melangkah sekurang-kurangnya ke suku akhir selain turut melakar kejutan ke atas gandingan ternama dunia.
Sementara itu, Ee Wei turut memberikan pujian terhadap ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto yang dianggap menjadi tulang belakang atas kejayaan diraih pemain-pemain acara tersebut.
“Jurulatih memang melakukan tugas cukup baik sejak beliau datang tahun lalu. Beliau meletakkan sasaran satu beregu pergi ke Olimpik dan mengotakan janjinya apabila kami berjaya melayakkan diri dan sekarang ada satu beregu lagi sedang naik,” ujarnya.