IPOH – “Saya minta maaf pakcik, itu suami saya. Dia memang panas baran”.
Itu yang dinyatakan seorang wanita yang mendakwa isteri kepada Deputi Superintenden Mohd. Nazri Abdul Razak, 45, kepada bapa Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie ketika mangsa sedang nazak.
Muhd Zamrie Zainal Abidin, 56, berkata, wanita itu juga memaklumkan bahawa suaminya tidak boleh mendengar bunyi ‘rem’ (memulas pendikit) motosikal selain berterusan memohon maaf.
Menurutnya, mendengar kata-kata wanita itu, dia dan anak perempuannya yang ketika itu berada di sisi Muhammad Zaharif tidak dapat menahan sabar lalu memarahi wanita tersebut.
Bagaimanapun katanya, pertelingkahan itu dileraikan seorang ustaz sekolah yang kemudian meminta mereka memberi tumpuan kepada mangsa.
“Saya melihat Zaharif meronta-ronta sambil bangun dan baring berulang kali walaupun kakaknya memberitahu untuk tidak berbuat kemudian.
“Selang beberapa minit kemudian, Zaharif tiba-tiba senyap dan mula berkelip-kelip mata. Nur Zawanie memintanya untuk tidak tidur dan tunggu sekejap sehingga ambulans tiba.
“Saya nampak Nur Zawanie memeriksa nadi Zaharif dan ketika itu, saya dan ustaz sekolah meminta Zaharif untuk mengucap,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Menurut saksi pendakwaan ke-19 itu, dia melihat terdapat kesan kecederaan siku berlubang pada Muhammad Zaharif selain muka lebam dan terdapat kesan seretan pada paha. – KOSMO! ONLINE