IPOH – Polis menumpaskan sindiket penipuan judi dalam talian yang didalangi warga China selepas menyerbu sebuah rumah yang dijadikan pusat panggilan aktiviti itu di Sunway City di sini semalam.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, seramai enam individu termasuk tiga wanita China berusia 29 hingga 34 tahun ditahan dalam serbuan pada pukul 2 petang tersebut.
“Polis merampas dua buah komputer riba, tujuh buah telefon bimbit, satu tablet komputer, modem Wi-fi dan sebuah kereta BMW.
“Mereka dipercayai menyasarkan mangsa dari luar negara terutama China. Ahli sindiket yang ditangkap berperanan sebagai pengendali pusat panggilan, penyelia, penjaga akaun dan pegawai khidmat pelanggan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut beliau, siasatan mendapati, sindiket tersebut menggunakan aplikasi Telegram dan laman sesawang yang diwujudkan khas untuk mempromosikan iklan tambah nilai bagi aktiviti perjudian. – KOSMO! ONLINE