ALOR SETAR – Sepasukan anggota bomba melaksanakan khidmat membawa petugas Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengesahkan kematian warga emas di Kampung Kota Kubang Teduh, di sini malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Ahmad Naufal Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 8.14 malam.
Katanya, pihak KKM memohon bantuan pihak bomba memandangkan rumah si mati yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) berusia 61 tahun ditenggelami air sedalam satu meter.
“Bukan sahaja rumahnya dinaiki air, malah laluan ke sana turut ditenggelami banjir menyebabkan ambulans tidak dapat masuk. Justeru pihak kami diketuai Pegawai Bomba Kanan 1, Ahmad Nozlan Zakaria membawa petugas KKM menaiki kenderaan pacuan empat roda dari Balai Bomba Alor Setar menuju ke lokasi,” katanya hari ini.
Menurut beliau, berikutan paras air tinggi ditambah pula keadaan gelap dan laluan sempit, pihaknya bersama petugas KKM hanya tiba di lokasi yang terletak 18 kilometer dari BBP Alor Setar kira-kira setengah jam kemudian
“Setibanya di lokasi, keadaannya cukup memilukan dengan air banjir hampir sama paras dengan katil yang menempatkan jasad arwah. Petugas KKM mengesahkan warga emas itu sudah meninggal dunia,” ujarnya.
Tambahnya, difahamkan warga emas itu tinggal bersama ibunya yang uzur berusia dalam lingkungan 80-an di rumah tersebut. – KOSMO! ONLINE