JAKARTA – Perbuatan sekumpulan penduduk di Langkat, wilayah Sumatera Utara yang memancing ikan keli di jalan berlubang mengundang perhatian orang, lapor portal berita Kompas semalam.
Rakaman yang dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @langkatterkini itu menunjukkan beberapa lelaki memancing ikan di tengah jalan menggunakan joran yang dibawa dari rumah.
Lebih menarik, ikan-ikan tersebut bukan dipancing di kolam tetapi jalan yang berlubang.
Seorang ketua penduduk setempat, Rahmat Sembiring berkata, perbuatan itu dilakukan sebagai tanda protes agar pihak berkuasa dapat membaiki jalan yang rosak.
“Jalan itu berlubang terlalu lama. Saya sudah tinggal di sini selama 3 tahun dan ia tidak pernah dibaiki.
“Penduduk tempatan berbuat sedemikian agar jalan yang rosak itu segera diperbaiki,” tambah Rahmat.
Rakaman itu mencatatkan lebih 12.7 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Ini baru kreatif!” komen seorang netizen. – AGENSI