fbpx

Pemandu Honda Civic dicekup ekori rapat ambulans

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar kejadian kereta jenis Honda Civic dan sebuah motosikal dipercayai mengekori sebuah ambulans di Kilometer 15 Lebuh Raya Persekutuan menghala ke Klang.

SHAH ALAM – Tindakan seorang pemandu kereta jenis Honda Civic mengambil kesempatan dengan mengekori sebuah ambulans dalam keadaan berbahaya memakan diri apabila dicekup polis, semalam.

Suspek berusia 28 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11 malam di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Turut sedang diburu adalah seorang penunggang motosikal jenis MT-15 yang melakukan aksi sama.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 4.40 petang kelmarin semasa sebuah ambulans sedang melalui Kilometer 15 Lebuh Raya Persekutuan menghala ke Klang.

Katanya, ambulans tersebut kemudiannya diekori kereta dan motosikal dalam keadaan membahayakan ambulans tersebut serta pengguna jalan lain.

“Siasatan juga mendapati pemandu kereta dan penunggang motosikal tersebut bukan ahli keluarga atau mempunyai kaitan dengan pesakit dalam ambulans itu.

“Kita telah menahan pemandu kereta itu dan kini mengesan penunggang motosikal itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Justeru, Mohd. Iqbal meminta saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Shah Alam, Inspektor Zaharizul Zamri di talian 019-3229097.

Tegasnya, orang ramai juga. dinasihatkan supaya sentiasa memberikan laluan kepada mana-mana kenderaan dalam tugas kecemasan serta tidak mengekori belakang kenderaan tersebut.

“Ini kerana boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yg lain.

“Pihak polis juga meminta pengguna jalan raya yang lain agar sentiasa bekerjasama dan memberikan maklumat kepada pihak polis jika mengesan sebarang kejadian sedemikian,” katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi 42 saat memaparkan aksi kereta dan motosikal tersebut yang mengekori rapat ambulans berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI