KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kepimpinan polis agar tidak hanya bergantung kepada Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) berikutan Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan tunggak utama dalam pertahanan negara.
Katanya, walaupun kita wajib mewujudkan IPCC tetapi tidak boleh menafikan hakikat yang PDRM sebagai tunggak utama pertahanan negara.
“Bagi memungkinkan ekononi meningkat, pelaburan masuk dan orang tamai berasa tenang serta selamat kerana kecekapan PDRM keseluruhannya.
“Oleh itu, kita perlu mengambil pendirian yang lebih tegas dan negara menuntut perubahan.
“Kita mempunyai keupayaan untuk maju sekiranya tidak terjebak dengan politik picisan, pergolakan kaum dan agama yang tidak membawa keuntungan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran Police, Friends and Collaborators (IPCC) di sini, hari ini.
Turut hadir, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Tambah Anwar, kita perlu fokus kepada usaha menyelamatkan negara agar aman dan terus berkembang pesat.
“Pertumbuhan ekonomi yang kukuh boleh meningkatkan mutu pendidikan, kesihatan rakyat dan menjadikan negara sebagai hub semikonduktor serta teknologi kecerdasan buatan (AI) yang maju.
“Namun, prasyaratnya adalah memastikan negara kekal aman, terkawal dan bebas daripada amalan boros, sombong, angkuh, zalim serta menekan rakyat.
“Kita tidak boleh membiarkan mereka yang berkuasa lupa tanggungjawab atau menyalahgunakan kuasa dengan menindas orang lain.,” tegasnya.
Sementara itu, IPFC merupakan program di bawah Pelan Strategik IPCC.
Objektif utamanya IPFC adalah untuk membantu memantau tatakelakuan anggota pasukan polis, melindungi hak asasi orang awam dan anggota pasukan polis.
IPFC juga bertujuan untuk memudahkan urusan penyampaian perkhidmatan dan keberkesanan IPCC serta polis sekali gus, meningkatkan imej dan nama baik negara.- KOSMO! ONLINE