LONDON – Pengeluar gergasi motosikal Austria, KTM dilaporkan bakal mengambil langkah drastik terurama menghentikan pembangunan jentera MotoGP mereka ekoran krisis kewangan yang melanda syarikat itu.
Menurut laporan media antarabangsa, keputusan yang terpaksa diambil KTM sebahagian daripada langkah penjimatan kos untuk memastikan projek sukan syarikat terus bertahan selepas KTM memfailkan kebankrapan minggu lalu.
KTM yang berada di bawah kumpulan Pierer Mobility, kini berdepan hutang mencecah €3 bilion (RM14.05 bilion), jauh lebih tinggi daripada jangkaan awal sekali gus memberi kesan besar perancangan mereka tahun depan.
Satu mesyuarat penting juga telah diadakan di Barcelona pada perlumbaan terakhir musim ini, di mana kakitangan dimaklumkan tentang situasi kewangan genting syarikat, namun diberi jaminan bahawa projek MotoGP akan terus berjalan.
Dalam mesyuarat tersebut, pihak pengurusan menekankan polisi penjimatan kos yang sudah lama dilaksanakan.
Keputusan turut dibuat untuk menghentikan sementara pembangunan jentera RC16 yang bakal digunakan oleh pelumba, Pedro Acosta dan Brad Binder di pasukan kilang serta Maverick Vinales dan Enea Bastianini bersama Tech 3.
Pembangunan akan ditangguhkan sekurang-kurangnya sehingga ujian pramusim di Sepang pada Februari depan.
Krisis berkenaan dilaporlan berpunca daripada pengeluaran berlebihan dan penurunan jualan ketara, selain kegagalan projek motosikal elektrik mereka. – AGENSI