KUALA LUMPUR – Radio Televisyen Malaysia (RTM) meminta orang ramai supaya berwaspada dengan individu yang menyamar pegawai organisasi itu untuk menipu syarikat penyedia perkhidmatan katering.
RTM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengesan modus operandi terbaharu pihak tidak bertanggungjawab yang bertindak memalsukan dokumen dan kepala surat syarikat tersebut.
“Baru-baru ini RTM menerima beberapa aduan berhubung ‘scammer’ (penipu) yang menyamar sebagai pegawai RTM untuk memperdaya syarikat penyedia perkhidmatan katering.
“Individu tidak bertanggungjawab itu memalsukan dokumen lengkap berserta kepala surat RTM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak terperdaya dengan modus operandi pihak tidak bertanggungjawab tersebut.
“Pembekal digalakkan untuk membuat semakan silang melalui telefon dan sebagainya bagi pesanan yang diterima.
“Mulai Disember 2024, RTM tidak membuat tempahan sebut harga atas sebab penutupan akaun. Sebarang maklumat atau pertanyaan lanjut boleh hubungi talian 03-2282 5333,” katanya. -KOSMO! ONLINE